Tuesday, December 30, 2008

:dengan "PANGKAT" anda boleh pergi jauh!::


Dalam sistem politik yang di amalkan pada masa kini, sama ada dalam parti atau negara, pangkat lebih di utamakan. Pangkat menjadi rebutan. Dengan pangkat ada yang dapat mengumpul kuasa dan kekayaan. Dalam sistem yang wujud, kuasa dan kekayaan bertumpu pada segelintir orang berpangkat. Lebih tinggi jawatan, lebih banyak kuasa dan kekayaan yang dibolot. Kuasa dan kekayaan yang bertambah mengukuhkan lagi kedudukan pangkat pula.

Untuk mempertahankan kuasa dan kekayaan, mereka yang berpangkat menggunakan berbagai-bagai tipu muslihat, cara dan kaedah. Dengan kuasa yang dimonopoli, mereka memperalatkan berbagai-bagai instrumen negara untuk memastikan mereka tidak jatuh dan tidak boleh dijatuhkan. Mereka menahan tanpa bicara dengan menggunakan ISA, untuk melemahkan pembangkang dan menimbulkan psikologi takut di kalangan umum. Mereka menggunakan mahkamah dan undang-undang untuk menjadikan manusia robot@ DITERNAK.

Tidak cukup dengan itu, mereka menggunakan polis untuk menyurai ceramah politik di kampung dengan gas pemedih mata, menahan dan mengganas ke atas perhimpunan reformasi yang aman di bandar, dan menggagalkan wanita yang hendak berkumpul di pasaraya bagi menentang perogolan dan keganasan terhadap kaum mereka. Bahkan mereka menggunakan jua penguatkuasa untuk menyulitkan pementasan drama bertemakan kontroversi ataupun lakonan lucu yang menyindir tokoh-tokoh politik tertentu. Tidak wujud sikap toleransi.

Untuk membasuh minda rakyat, mereka sepanjang masa memperalat TV, radio dan akhbar, mengulangi tayangan dan siaran tentang kejayaan pembangunan. Di mana mereka memerintah seolah-olah tidak wujud penderitaan rakyat akibat kemiskinan, penggusiran "setinggan", kenaikan harga barang keperluan, atau pembuangan kerja. Yang buruk dan jelek terdapat hanya di negeri-negeri yang mereka gagal kuasai. Media pengampu juga menyiar penuh ucapan pemimpin negara yang mencela-cela tokoh, parti, bahkan NGO yang tidak di sukai, kerana mencabar dasar serta pangakat mereka.

Oleh sebab mereka mempunyai kuasa tidak terbatas, pucuk pimpinan pemerintah boleh mengambil sebarang tindakan sesuka hati. Cara pemerintahan mereka ialah dengan menekan dari atas dan rakyat mesti sentiasa setia. Mereka tidak perlu merunding atau merujuk apa-apa kepada rakyat. Undang-undang yang mereka reka, bahkan parlimen, badan tertinggi pembuat dasar negara yang mereka bina, pun jarang mereka hormat.

Wawasan 2020 diistiharkan sebagai panduan mas depan negara tanpa dibincang dalam parlimen. Perubahan bahasa pengantar Sains dan Matametik, dilaksanakan tergesa-gesa selepas pengumuman PM, dengan membelakangkan dasar pendidikan nasional dan hak pendidikan bahasa ibunda bagi murid-murid. WAng PETRONAS boleh digunakan tampa ketelusan. Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah "negara islam" dibuat oleh perdana menteri dengan tiada kelulusan Parlimen ataupun sebarang pindaan undang-undang.

Kita tahu beliau alih-alih mencanangkan "Malaysia negar islam" dengan tujuan politik untuk menarik sokongan orang melayu/ Islam. Akan tetapi, dalam negara islam ini juga, kita melihat dikalangan orang islam lebi banyak kes keruntuhan moral di kalangan orang muda dan orang tua, perkosaan ke atas anak sendir serta pencabulan terhadap wanita, dan penagihan dadah. Selain itu jenayah semakin merebak dan lesen judi semakin banyak. Apakah yang pemerintah lakukan untuk membendung semua masalah ini?

Dengan kekayaan yang banyak, para pemimpin pemerintah boleh melabur dan menabur wang untuk membeli undi. Politik wang mahu disekat dalam parti iuntuk melindungi pangkat pucuk pimpinan. Sebaliknya, ia tidak disekat dalam pilihanraya umum demi memastikan parti mereka menang berkali-kali. Mereka berbangga dengan mengadakan pilihanraya, yang kononnya menjadi bukti mereka mengamalkan demokrasi.

Akan tetapi, banyak berlaku sebelum dan sewaktu pilihanraya, yang menunjukan prosesnya tidak bersih, tidak bebas serta tidak adil. Politik diskriminasi kaum, ugut, dan gertak menjadi alat penting bagi meneruskan dasar pecah dan perintah, warisan penjajah. Institusi media, kehakiman dan polis semakin lemah di bawah telunjuk pemimpin kuku besi. Pasukan khas digerakkan untuk mengancam serta menakutkan rakyat. Undang-undang tidak adil bertimbun dan sering dilaksanakan dengan cara pilih bulu. Suruhanjaya Pilihanraya cuma sedia berkhidmat mengikut selera pemimpin berkuasa.

Banyak massalah politik dan sosial berkaitan rapat dengan sistem ekonomi yang diamal dan corak pembangunan yang digalak. Negara kita mempunyai kekayaan yang lebih dari cukup untuk memenuhi keperluan kebajikan serta kesejahteraan umum. Akan tetapi, ia menjadi kurang akibat kerasukan serta ketamakan sesetengah pemimpin. Jikalau kekayaan ini dikendali dengan baik dan diagih dengan adil, pembanguna pasti lebih hebat lagi untuk rakyat ramai. MAsalah-masalah yang berlkaitan dengan kemiskinan, kesihatan, pendidikan dan perumahan sepatutnya sudah lama dapat diselesaikan.

Malangnya, sistem ekonomi kini membenarkan kekayaan dibolot oleh segelintir pemimpin dengan sanak saudara dan suku-sakat mereka. Sesungguhnya, tidak salah sesiapa mencari kesenangan hidup ataupun mengumpul kekayaan yang halal. Tetapi tiada guna atau budaya menggalak orang menimbun kekayaan tanpa had dari korupsi, atau menayang kemewahan hidup yang sarat dengan pembaziran. Korupsi dan penyelewengan di peringkat atas semakin parah. Menteri, menteri besar dan korporat yang dilapor kepada polis atas tuduhan melakukan korupsi tidak diambil tindakan sewajar, bahkan dilindungi. Sebaliknya, yang melaporkannya pula disumbat ke dalam penjara.

Pembangunan yang dibanggakan lebih menumpu kepada bidang ekonomi bercorak fizikal. Ia mengabaikan aspek-aspek sosial, persekitaran dan moral. Projek-projek mega sangat disukai sebab lebih mudah menjadi sumber untuk mengayakan pemimpin serta kroni dan mengisi dana parti. Beratus billion wang rakyat dari PETRONAS,KWSP,Tabung Haji dan lain-lain dirompak siang hari untuk membazirkan kepada projek-projek mega dan menyelamatkan syrikat kroni, seprti PERWAJA, RENONG, dan MAS.

Pucuk pimpinan negar serta kroni mereka sangat berminat kepada projek mega kerana keuntungan besar yang boleh dikaut. Lagi pula projek paling tinggi, paling besar, paling penjang menyerlah sebagi monumen, yang lebih mudah dilihat, dikagumi serta dibanggakan, daripada projek-projek mengubati penyakit sosial.

No comments: