Monday, January 4, 2010

POSTO-POSTO!

SURAT TERBUKA UNTUK ANDA


Baru-baru ni aku duduk bersama-sama anggota RAT (Rumah Anak Teater) berbincang untuk mementaskan sebuah lagi projek teater baru di bawah kendalian RAT. Teater Kompilasi Vol. 3 TANDA akan menemui penonton pada awal Februari nanti. Teater Kompilasi Vol. 3 ini adalah projek pementasan teater yang ke tiga sejak RAT mula ditubuhkan pada Oktober 2008. Dua pementasan terdahulu iaitu Vol. 1 dan Vol. 2, RAT tidak mendapat sebarang keuntungan wang ringgit. Ini adalah kerana sehingga kini RAT tidak mempunyai penaja yang ingin menaja pementasan kami. Aku sebagai pengarah artistik dan penerbit bagi ketiga-tiga pementasan ini lebih menumpukan kepada jualan tiket untuk menampung kos pementasan. Bagi pementasan Teater Kompilasi Vil. 3 ini aku telah mencadangkan agar harga tiket dijual pada harga RM 30 namun ada antara ahli RAT tidak bersetuju kerana beranggapan harga itu terlalu mahal dan mungkin orang ramai tidak akan datang untuk memberi sokongan. Lalu ada yang mencadangkan agar dijual pada kadar RM20 sahaja dengan alasan keadaan ekonomi sekarang.

Untuk makluman, Teater Kompilasi Vol.3 kali ini akan menghimpunkan tenaga kerja lebih dari 30 orang kerana ianya lebih berkonsepkan persembahan ensemble. Kami juga bercadang untuk menjayakan berberapa unsur-unsur kekaguman pada rekaan pentasnya termasuk membina pentas khas di atas pentas yang sedia ada. Dengan kekurangan dana yang boleh dikatakan sifar itu kami mungkin terpaksa menggunakan modal dari poket sendiri bagi merealisasikan pementasan tersebut demi mengangkat seni teater dan khalayak ke aras yang lebih tinggi. Oleh itu, pada pandangan aku RM30 itu tidaklah terlalu mahal namun pandangan anda semua juga amat penting kerana anda sebagai penonton tentu lebih mengerti erti kepayahan kami dan diri anda sendiri.

Jadi di sini aku kemukakan soalan, bagi sebuah pementasan selama 2 jam yang menghimpunkan lebih 30 orang tenaga kerja termasuk 6 orang pengarah dan 20 orang pelakon tv dan teater yang akan bermain di atas pentas dari awal hingga tamat pementasan. Anda juga akan dihidangkan dengan persembahan visual dan multimedia bersama rekaan pentas yang mengagumkan. Dan, anda sebagai penonton akan disediakan kerusi empuk agar selesa untuk menikmati persembahan tersebut hingga ke hujung. Berapakah harga tiket yang akan anda bayar untuk persembahan yang sedemikian?

Terima Kasih
Nam Ron
Pengarah Artistik/Penerbit

No comments: